Friday, June 26, 2009

Menyonsong Kesinambungan Perjuangan, Perkaderan dan Pentarbiyyahan






Assalamualaikum dan salam ukhuwwah. Tahun demi tahun, BALKIS melalui pelbagai dan sekian banyaknya proses-proses reformasi yang membawa BALKIS ke arah yang lebih matang dari segi internal dan eksternal. Proses-proses ini berlaku di bawah kepemimpinan (bukannya pemerintahan!) pelajar daripada bermacam latar, sikap dan pembawaan. Kesemua ini, tidak lain dan tidak bukan, merupakan satu manfaat dan rahmat buat BALKIS oleh kerana kepelbagaian ini menjadikan BALKIS tidak jumud, beku dan kaku, bahkan menjadikan BALKIS satu badan yang kini telah mendewasa dengan kekayaan ilmu, pengalaman dan kemahiran.

Namun, kepelbagaian ini kadang kala sedikit menyukarkan apabila saban tahun kerap kali dasar dan sistem BALKIS berubah-ubah seiring dengan perubahan kepimpinan. Saiyidina Ali pernah berbicara, bahawa kebenaran tanpa sistem akan dirungkai, diroboh dan diterombos oleh kebatilan yang bersistem. Akhirnya, meneliti terhadap kekurangan dan kelemahan ini, BALKIS 2009 di bawah kepimpinannya, dengan kerjasama Majlis Syura yang baru ditubuhkan (terdiri daripada bekas-bekas pimpinan), bersepakat dan bersetuju, satu sistem mesti dirangka dan dibina bagi memastikan kepimpinan kelak, apabila berlaku peralihan amanah (bukan kuasa) akan meneruskan kesinambungan perjuangan, perkaderan dan pentarbiyyahan BALKIS secara sistematik dan efektif. Perbincangan demi perbincangan, penelitian demi penelitian akhirnya telah membawa kepada terhasilnya satu dasar, satu sistem yang bukan sahaja dikaji dan dinilai secara teliti oleh pimpinan, bahkan turut melalui istikharah-istikharah dan munajat-munajat. Keberkatan melalui munajat dan doa diusahakan sewaktu proses perangkaan sistem ini, kerana ia bukan sahaja hendak diguna pakai sementara waktu, bahkan sehingga selamanya selagi ia masih relevan. Melalui kaedah al-jam’u bainal qadimis saleh wal jadidin nafi’, buah-buah fikiran dan idea-idea bernas serta hasil penelitian dan pengkajian daripada pimpinan terdahulu dan kini, disatukan.

Hasilnya, BALKIS 2009 tampil gagah dengan tema Membina Generasi Daie Berkualiti 2011. Ia adalah suatu sistem khas, yang akan diperturunkan zaman ke zaman dan berbentuk thabat wa murunnah, tetap dan pantang diubah daripada segi dasarnya namun anjal dan unik dari segi pelaksanaannya. Bukan hendak menghurai berkenaan perancangan dan matlamat ini, tetapi saya hendak tegaskan, sebagai seorang optimis tegar, saya cukup yakin dan percaya, dengan peluang dan izin yang diberiNya, ia akan terlaksana dan berjaya suatu masa nanti. Begitu juga, saya ingin menafikan keras-keras, kutukan dan caci hina yang dilempari puak-puak ‘pemalas’ yang hanya tahu memberi komen tanpa bantuan membina, yang mengatakan BALKIS hanya mengomong kosong akan matlamat besarnya dan gagal dalam melaksanakan matlamatnya. Percayalah, meski banyak kelemahan dan kekurangan, namun kini saya berani katakan, perjuangan BALKIS tidak lagi kabur tanpa haluan, tetapi, jalanan perjuangan sudah luas terbentang dan bermatlamat, hanya tinggal orang yang sanggup melaluinya dengan cara dan strategi yang betul bersama kecekalan dan ketabahan usaha. Tetapi, sahabat-sahabat seperjuangan perlu ingat, al-ibrah bil musammah wa laisa bil isim. Walau sehebat mana pun perancangan, tema dan cita-cita yang kita harapkan, andainya tanpa kerjasama penuh daripada semua penyokong dan pendokong di semua peringkat ia tidak akan ke mana. Sebagai salah seorang pimpinan badan ini, jujurnya, saya begitu mendambakan sokongan dan bantuan daripada sekalian sahabat-sahabat seperjuangan agar perangkaan yang kita bina ini akan berjaya seterusnya tergapailah impian kita mahu melihat kemenangan usaha dakwah dan tarbiyyah di sekolah kita, Insyaallah.

Saya berani katakan, pusat perkaderan kepimpinan adalah dari BALKIS. Malang dan hina bagi mereka yang kini memegang amanah kepimpinan di mana-mana peringkat dalam sekolah yang menafikan mereka hasil didikan dan perkaderan BALKIS. BALKIS meskipun masih muda untuk dinamai sebagai gerakan Islam tetapi bagi saya, ia sudah cukup untuk dikenali sebagai jemaah Islamiyyah di peringkat Maahad Muhammadi (Lelaki). Kenapa saya berani katakan demikian, tidak lain dan tidak bukan adalah kerana usaha dan kesungguhan pimpinan BALKIS menerap, menggarap dan mengaplikasi konsep-konsep sebenar di peringkat harakah ke dalam BALKIS. PAS diletakkan sebagai idola ataupun model hidup dan konsep-konsep, istilah-istilah serta ilmu-ilmu harakiah ditelaah dan diusaha untuk difahami oleh kepimpinan supaya boleh digunapakai di dalam BALKIS. Salah satu hasilnya, tidak lain dan tidak bukan adalah matlamat 2011 yang saya sebutkan awal tadi.

Namun demikian, ingin saya peringatkan, lebih banyak perkara yang mahu dilakukan, lebih banyak persediaan yang perlu dilakukan. Pengukuhan tarbiyyah dan perkaderan perlu dilakukan segera bagi memastikan BALKIS kekal utuh dan tegar di landasannya. Semua kekuatan modal insan yang ada pada BALKIS perlu diguna dengan sebaiknya, jilul-jilul yang ada, ahli-ahli muda dan penyokong-penyokong perlu diikat kuat dengan BALKIS. Agar mereka kekal bersetia dan kelak menjadi pendokong dan penyambung kepada rantaian perjuangan yang tidak berpenghujung ini.

Bercakap mengenai konsep, di dalam kepimpinan Islam, kita ada konsep qaedatul sulbah selain konsep jundiyyah dan qiadiyyah. Melihat keadaan sekarang, saya kesal untuk mengakui, BALKIS masih kurang dan punya lemahnya di bahagian ini. Skop perkaderan memang cukup luas, namun hendak atau tidak, wajib diteroka dan dirungkai untuk dipastikan agar BALKIS terus kekal utuh dengan kaedah sulbahnya. Ramai dalam kalangan penyokong-penyokong BALKIS (jilul-jilul) yang masih gagal mencerna sebaiknya konsep jundiyyah dan qiadiyyah. Mereka tidak merasakan mereka terikat dengan wala’ kepada kepimpinan BALKIS. Mereka tidak merasakan bahawa mereka itu adalah tentera kepada BALKIS dan sewenang-wenangnya menguzurkan diri dalam ‘peperangan’ demi ‘peperangan’ BALKIS. Mereka gagal menghayati firman tegas ALLAH dalam surah At-Taubah ayat 118 yang menceritakan peristiwa Kaab Bin Malik, sahabat baginda Rasulullah yang mengambil mudah arahan baginda untuk turun ke medan Tabuk. Beliau terlepas perang tersebut yang akhirnya membawa kepada hukuman tegas baginda terhadapnya iaitu pemulauan. Beliau begitu kesal sehingga mengikat dirinya di tiang, menolak untuk menjamah walau setitis air dan redha andai diambil nyawanya oleh Allah daripada terus terseksa dengan kekesalan. Akhirnya ayat tadi diturunkan bagi mengakui bahawa taubatnya diterima. Seharusnya, peristiwa ini perlu diambil iktibar dan pedoman daripadanya. Jelas sekali bahawa, arahan pimpinan meski kelihatan kecil dan remeh, wajib dipatuhi dan ditaati selagi mana tidak bercanggah dengan syariat. Malangnya, apabila program-program diadakan, liqa’ demi liqa’ dilaksanakan, ramai yang pandai berdalih, memberi seribu macam alasan bagi menolak untuk berintima’. Kesal untuk saya akui, namun ia memang satu sikap yang cukup mengecewakan, sikap yang sepatutnya tidak mendiami jiwa para jundullah.

Namun demikian, saya bukan hendak meletakkan kesalahan tersebut seratus peratus di bahu para penyokong ataupun ahli jundi BALKIS. Tetapi, para pimpinan juga seharusnya bermuhasabah dan memeriksa apakah diri mereka telah bersungguh dalam menerapkan kefahaman sebenar kepada para penyokong dan apakah diri mereka sendiri telah mengamalkan segala macam konsep-konsep harakah dan qiadiyyah? Harus diingat wahai pimpinan, serangan demi serangan akan dilakukan oleh musuh yang nyata, si Syaitan yang direjam serta nafsu akan cuba menguasai jiwa dan akal. Telah digariskan oleh junjungan mulia akan lima macam cabaran yang bakal ditempuhi oleh jundullah. Mukmin yang dengki, munafiq yang benci, musyrik yang memerangi, syaitan yang menyesati dan nafsu yang tidak pernah lelah dan berhenti daripada mencuba untuk menguasai akan menjadi batu penghalang dalam melaksanakan amanah berat dalam perjuangan ini. Pesan saya kepada pimpinan, sebagai anggota jemaah, matlamat dan kepentingan jemaah haruslah kita letakkan dahulu berbanding perkara lain. Hubungan antara ahli perlu diperkukuh dengan ikhlas, bukan kerana terpaksa atas urusan kerja. Biar hubungan sesama kita terbit daripada hati yang ikhlas keranaNya, kerana jika ukhuwwah itu terbina secara paksa maka ia akan ada hanya sementara sahaja. Apabila pimpinan mahu membicara akan konsep-konsep harakah biarlah konsep-konsep itu sendiri tertonjol melalui peribadinya terlebih dahulu. Allah telah memberi tunjuk ajar kepada kita, bahawa pimpinan itu haruslah selari dengan konsep yang diajarNya melalui surah Al-Qasas, Inna khaira manista’jarta al-qawiyul amin. Pimpinan itu mesti mampu melaksanakan tugas (al-qawiy) bahkan juga mestilah amanah (al-amin). Menyebut berkenaan amanah, ia berkait rapat dengan iman. Laa iman liman laa amaanatallahu, tidak iman jika tidak amanah, pesan Rasulullah kepada kita.

Berbicara berkenaan iman, ulama’ menyebut bahawa iman selepas daripada diikrar dengan lisan, maka perlu ditashdiq bil qalbi. Ulama’ juga menyebut dengan jelas yang sifat benar itu wajib ada pada diri orang yang beriman. Manakala benar itu sendiri punyai empat tahap. Tahap pertama, benar dengan ikrar, iaitu kita membenarkan apa yang kita ikrarkan, Laa ilaha illa llah. Kita wajib menolak segala yang bertentang dengan keEsaan Allah serta arahan-arahanNya. Atas kerana inilah, kita bersungguh-sungguh memperjuangkan Islam melalui BALKIS, cuba untuk melaksanakan yang maaruf dan menolak yang mungkar. Tetapi, itu baharu tahap pertama dalam benar. Tahap kedua adalah tahap di mana kita pimpinan mampu bersikap benar dengan anak-anak buah kita. Benar dengan sahabat-sahabat seperjuangan kita. Ikhlas berhubung dan berukhuwwah dengan mereka. Membuang rasa ego dan bangga diri. Tidak menyusahkan, menganiaya sahabat-sahabat seperjuangan. Kekadang, kita rasakan kita cukup hebat dengan jawatan tinggi yang kita miliki, menyebabkan kita rasakan sahabat-sahabat kita hanyalah kuli ataupun pacal-pacal hina yang boleh kita mainkan perasaan mereka, hina mereka, mengarah-arah, memperguna dan memperkuda mereka. Untuk mereka yang bersikap dan berperangai seperti ini, saya mahu tegaskan yang sikap itu saya cukup BENCI dan saya pasti tidak akan berdiam diri andai ia berlaku di hadapan mata saya. Sikap sebegitu harus sifar daripada mendiami jiwa para pimpinan. Saya berpegang dengan konsep the great man shows his greatness in the way he treat little man. Bagi saya seseorang pimpinan itu dikira hebat dan benar melalui cara bagaimana dia melayan dan bermuamalah dengan orang bawahannya.

Seterusnya, selepas benar tahap kedua, maka kita mestilah benar dengan mad’u kita. Benar dengan sasaran dakwah kita, ikhlas bersama mereka, bukannya populariti dan perhatian mereka yang kita tagih, tetapi kesediaan mereka untuk memahami perjuangan kita, menyokong dan seterusnya mendokong terus perjuangan, inilah yang kita candukan daripada mereka. Kita perlu benar dalam memperlihatkan sikap dan peribadi kita kepada mereka, supaya menjadi contoh sebagaimana firmanNya, Laqad kaana lakum fi rasululillahi uswatun hasanah. Rasulullah itu padanya ada uswah hasanah. Begitu juga kita yang perlu menjadi qudwah terbaik dari segi peribadi, sikap dan hubungan kita dengan Allah. Harus difahami dengan jelas, thiqah yang kita jaga bukan bererti lesen untuk kita MENIPU..! Jangan sesekali bersikap hipokrit dan retorik, kononnya untuk menjaga thiqah dan kepercayaan orang ramai. Sikap inilah yang akhirnya apabila diketahui orang akan membawa kepada kehancuran dirinya dan mungkin jemaah turut terheret sama.

Dan akhirnya, tahap benar yang tertinggi, apabila akhirnya kita berjaya menjadi benar dengan diri kita sendiri. Insan sebeginilah yang akan terjaga pada malam hari, menangis di samping Tuhan mereka, memperakui kesalahan mereka di saat ramai asyik diulit mimpi. Insan sebeginilah yang akan mengakui di sisi Tuhan mereka, mereka telah benar dengan ikrar, telah benar dengan sahabat, telah benar dengan mad’u mereka namun kadang-kadang berlaku tidak benar dengan Tuhan mereka sendiri. Mereka inilah yang akan menangisi dan menyesali sikap hipokrit dan retorik mereka, memohon agar taubat mereka diterima dan bantuan Allah sepanjang melaksanakan amanah mereka. Insan inilah, yang berada pada tahap tertinggi benar dan yang kita namakan sebagai as-Siddiq. Insan inilah yang punyai kriteria al-qawiy dan amin. Insan inilah yang akan menjadi sulbah ataupun tulang belakang kepada perjuangan kita.
Sebagai anggota jemaah ini di setiap peringkat, kita harus melangkah bersama, mendepani dan melangkaui segala halangan, cabaran dan rintangan sepanjang perjuangan, kita harus bersama UTUHkan ukhuwwah, cekalkan semangat, kukuhkan thaqafah.. MENYONSONG KESINAMBUNGAN PERJUANGAN, PERKADERAN DAN PENTARBIYYAHAN.

1 comment:

ehsanhalim said...

salam tarbiah pada adik2 sekalian..


semoga antum semua terus thabat dlm perjuangan.

kita semua adalah rantai-rantai perjuangan islam.

bukan kita yg memulakan dan bukan kita yang menamatkan.

jadi, pastikan rantai itu tidak terputus dizaman kita...

antum 'alamu bi umuridduniakum..

ana dan abg2 lain doakan kejayaan adik2 di maahad.

-mantan exco ekonomi BALKIS.ehsan halim